Beluru


Beluru? Mendengar namanya sahaja, mungkin sebilangan daripada kita akan mengerut dahi kerana tidak pernah mendengar perkataan tersebut. Namun, bagi mereka yang biasa berkunjung ke Pasar Siti Khadijah, Kota Bahru, Kelantan, mungkin ada terpandang longgokan kayu kering di sisi peniaga yang bersimpuh menanti pelanggan. Itulah kayu beluru, syampu dan perapi zaman silam, yang turut dijadikan penyegar badan.
Sebenarnya, lama juga saya tidak ke Pasar Siti Khadijah. Minggu lalu, saya sempat singgah ke  sana untuk meninjau hasil-hasil jualan di sana.  Mungkin dahulu saya tidak perasan mengenai kayu-kayu tersebut. Kali ini sempat juga saya bertanya mengenai khasiat dan kegunaannya. Katanya, beluru yang diperah dengan limau purutdapat menyuburkan rambut, membersihkan kepala dan menjadi penawar kepada mereka yang mengalami gatal kulit. Biasanya , batang kayu beluru yang segar dikerat pendek dan dijual pada harga RM1 sebatang. Biasanya ia sudah dijemur kering. Saya sempat beli sedikit untuk dicuba.
Khasiat kayu beluru sebagai ramuan ubat tradisional yang selama ini hanya diketahui oleh orang tua-tua kini semakin dikenali di kalangan wanita muda khususnya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Mengikut rujukan, pelanggan yang datang membeli beluru bukan hanya di kalangan bidan kampung dan warga tua, tetapi kini ia mula mendapat permintaan untuk digunakan dalam aspek penjagaankecantikan dan kesihatan termasuk di spa Q.